Mata manusia berfungsi seperti sebuah kamera untuk melihat dengan jelas. Objek yang dilihat difokuskan keatas retina. Ini dicapai melalui kuasa menumpu yang terdapat pada kornea dan kanta. Apabila imej tidak difokuskan dengan tepat diatas retina, maka rabun terjadi. Keadaan ini menyebabkan penglihatan menjadi kabur dan ianya boleh dibetulkan dengan penggunaan cermin mata atau kanta sentuh.
Terdapat tiga jenis rabun mata iaitu :
Myopia (rabun jauh)
: Imej difokuskan dihadapan retina

Ketidakupayaan melihat jauh. Masalah ini mudah dialami oleh golongan muda. Oleh kerana kesukaran melihat jauh ini, mereka akan mengecilkan mata untuk memperolehi satu penglihatan yang jelas. Akibatnya berlakulah sakit kepala malah berdenyut-denyut dibahagian depan kepala. Kes Miopia yang dipengaruhi aspek psikologi seperti stres. Kecergasan seseorang itu akan berkurangan. Oleh itu pemeriksaan perlu dilakukan dengan segera.
Hyperopia (rabun dekat)
: Imej difokuskan dibelakang retina

Kerosakan mata jenis ini cuma ketara di negara barat. Ianya terjadi kerana biji mata terlalu kecil dan cahaya yang datang dari jauh difokuskan dibelakang retina. Oleh itu mata akan bekerja lebih untuk memfokuskan cahaya di retina. Kesan da ripadanya adalah juling dimana otot-otot akan mengalami keregangan. Mata yang juling dikenali sebagai Esotropia (cross eyes). Rawatan awal perlu diambil bagi mengatasi masalah ini.
Astigmatism
: Imej yang terbentuk mempunyai lebih dari satu titik fokus

Ianya timbul apabila bentuk kornea mata tidak berbentuk sfera iaitu ianya berbentuk seperti telur. Akibatnya mata tidak dapat bertumpu pada satu titik. Mereka yang mengalami masalah ini akan kabur penglihatan jauh dan dekat. Rawatan awal diperlukan bagi mengatasi masalah Ambliopia iaitu penurunan tajam penglihatan. Ianya terjadi kerana sel retina tidak mendapat imej yang jelas atau tajam.
Tanda & gejala
Miopia
: Penglihatan jauh tidak jelas, manakala penglihatan dekat sangat jelas
Hyperopia
: Penglihatan jauh lebih baik dari penglihatan dekat. Mata mudah menjadi penat jika tidak dibetulkan.
Astigmatism
: Kabur hampir dikesemua jarak dan imej menjadi senget atau tidak sempurna
Komplikasi
Rabun yang tidak dirawat pada orang dewasa boleh menyebabkan ketidakselesaan pada mata, mata menjadi penat dan kadangkala sakit kepala.
Rabun di kalangan kanak-kanak memerlukan perhatian yang khusus dan penjagaan mata yang betul. Ini kerana rabun yang tidak dirawat dengan sempurna boleh menyebabkan berlakunya ambliopia (mata malas).
Rawatan
Terdapat beberapa kaedah rawatan untuk miopia, hiperopia dan astigmatisma. Rawatan bukan pembedahan termasuklah cermin mata dan kanta sentuh. Rawatan pembedahan pula termasuklah kaedah laser dan kaedah pembuangan kanta mata yang jernih.

Walaupun terdapat beberapa kaedah pembedahan untuk membetulkan rabun pada masa ini, namun bukan semua individu adalah calon yang sesuai untuk kaedah-kaedah tersebut. Pesakit seharusnya diperiksa secara terperinci terlebih dahulu oleh doktor mereka sebelum sebarang keputusan dibuat untuk memastikan kesesuaiannya.
Pencegahan
Kanak-kanak disarankan untuk mengurangkan aktiviti, seperti membaca terlalu lama, menonton televisyen pada jarak yang dekat atau menghadap skrin komputer terlalu lama, untuk mengurangkan risiko terjadinya myopia (rabun jauh).
Masalah-masalah lain yang berkaitan
Presbiopia (rabun tua) terjadi kepada orang berumur 40 tahun dan keatas. Ini disebabkan oleh perubahan pada kanta mata apabila umur seseorang itu meningkat. Keupayaan kanta untuk memfokus bagi melihat objek dekat semakin berkurangan. Presbiopia terjadi pada semua orang, dan akhirnya mereka perlu memakai cermin mata membaca atau bifokal. Presbiopia tidak boleh dirawat dengan kaedah laser.







